Usaha MAI Selang-selikan Kurikulum Akademik dengan Pembangunan Ukhrawi Membuahkan Hasil

29 Apr Usaha MAI Selang-selikan Kurikulum Akademik dengan Pembangunan Ukhrawi Membuahkan Hasil

Disiarkan di Berita Harian pada 29 April 2016

Oleh SHAMSUL JANGARODIN

SEDANG pelajar madrasah menengah sepenuh masa lain giat mengulang kaji mata pelajaran Islam seperti fiqh, pengajian Al-Quran dan tafsir bagi peperiksaan pertengahan tahun, para pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) pula sibuk menelaah buku-buku matematik, fizik dan kimia.

Ini kerana MAI merupakan sebuah madrasah menengah sepenuh masa yang memberi fokus pada pendidikan akademik.

Namun begitu, ia tidak bermakna MAI mengetepikan fungsinya sebagai sebuah madrasah yang berteraskan pendidikan Islam. Misalnya, kurikulum madrasah tersebut – ia kini antara tiga madrasah sepenuh masa di bawah naungan Sistem Madrasah Bersama (JMS) – diselang-selikan dengan program-program kepimpinan Islam secara berstruktur. Pelajar juga diperlukan menduduki mata pelajaran Islam seperti Dirasat Deeniyah, Al-Quran dan bahasa Arab.

“Semua ini bertujuan membentuk golongan ilmuwan akademik yang cemerlang, dan yang bernafaskan nilai-nilai Islam,” kata Pengetua MAI, Encik Herman Cher-Main.

Awal bulan lalu, pelajar menengah empat MAI, Muhammad Nursufyan Mohamad Raffi, 15 tahun, mengambil bahagian dalam satu pertandingan khutbah antara madrasah-madrasah setempat. Hasilnya, beliau muncul juara “Khatib Impian Ummah” dalam pertandingan yang diadakan dalam bahasa Arab itu.

“Alhamdulillah, peluang yang diberikan kepada saya untuk menyampaikan khutbah di sekolah pada solat Jumaat mendorong saya untuk menyertai pertandingan ini,” kata Muhammad Nursufyan. Pelajar MAI bergilir-gilir menjadi khatib Jumaat di MAI, kecuali pada Jumaat pertama dan terakhir sesebuah penggal sekolah.

Satu lagi program yang disediakan MAI ialah program tahfiz secara berstruktur. Di bawah program ini, pelajar diberi masa dalam tempoh kurikulum pendidikan akademik mereka untuk mempelajari dan menghafal Al-Quran.

Hasilnya, MAI bukan sahaja berjaya memupuk pelajar yang peka dengan bahasa Inggeris, sains dan matematik, tetapi juga mahir menghafal Al-Quran.

Tahun lalu, seorang pelajar MAI, Erwan Shah Effandi, 16 tahun, mengharumkan nama madrasah apabila berjaya merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran antara madrasah-madrasah. Pada Ahad lalu, Erwan menempah tempat kelima – dalam senarai 31 peserta – di satu pertandingan tahfiz peringkat kebangsaan pula– Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ) anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

“Alhamdulillah, sejak saya memasuki MAI, guru-guru banyak memberi semangat dan bimbingan untuk saya menyertai pertandingan tahfiz,” kata Erwan yang mula menghafal Al-Quran sejak kecil lagi dan kini menghafal sekitar satu muka surat setiap hari.

Awal bulan ini, dua pelajar MAI membanggakan madrasah tersebut apabila masing-masing muncul sebagai juara dan naib juara sebuah pertandingan melaungkan azan anjuran Masjid Abdul Hamid Kampung Pasiran.

Pelajar menengah tiga, Muhammad Hazim Zainal, dan pelajar menengah satu, Muhd Irfan Fitri Abdullah, meraih tempat pertama dan kedua dalam pertandingan tersebut.

Menurut Encik Herman pencapaian baik para pelajar MAI itu membuktikan bahawa pendidikan di MAI mampu melahirkan ilmuwan akademik yang boleh cemerlang dalam bidang-bidang ukhrawi.

“Ia sejajar dengan misi madrasah untuk membentuk seorang individu yang menyeluruh, berjaya dalam bidang duniawi, mantap dan cemerlang dalam bidang ukhrawi,” kata Encik Herman

Tambah Encik Herman, dalam usaha MAI menyediakan kurikulum akademik bermutu di sekitar suasana pembelajaran Islam, madrasah itu membimbing pelajar menjadi seorang Muslim yang memiliki daya keinginan yang tinggi untuk terus menimba ilmu dan peningkatan diri, dan menjadi Muslim contoh serta yang menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Baru-baru ini, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Menteri Bertanggungjawab Bagi Keselamatan Siber dan Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, mengumumkan MAI bakal memiliki sebuah bangunan baru.

MAI kini mendiami bekas bangunan Sekolah Poi Ching di Lorong 6 Toa Payoh di bawah Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

TOL tersebut bakal tamat dalam masa beberapa tahun ini, dan bangunan baru MAI dijangka siap sekitar 2019.

Apabila siap kelak, bangunan baru MAI – yang terletak bersebelahan bangunannya kini – akan menampilkan bilik darjah baru, makmal dan dewan serbaguna. Penggunaan teknologi infokom (ICT) juga dijangka diperluas.

“Alhamdulillah, dengan adanya kemudahan sekolah yang lebih lengkap, kami berharap untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang berjaya dalam bidang akademik, yang turut memiliki pemahaman dan etos Islam yang kukuh.

“Justeru kami amat mengalu-alukan sokongan anda agar MAI dapat mencapai matlamatnya. Insya-Allah setiap sumbangan ikhlas dan murni masyarakat akan dibalas Allah dengan ganjaran yang lebih besar,” kata Encik Herman.

Orang ramai yang mahu menderma kepada MAI bagi pembinaan bangunan baru madrasah boleh melakukan menerusi cara-cara berikut:

  • Kirimkan cek atas nama ‘Madrasah Al-Arabiah Development Fund’. Tuliskan nama dan nombor telefon di belakang cek untuk madrasah sampaikan salinan resit derma;
  • Lakukan pemindahan wang ke akaun OCBC 695-189-514-001. Kirimkan nama, alamat dan nombor telefon anda ke give@mai.sg untuk madrasah sampaikan salinan resit derma;
  • Derma di kaunter madrasah di 1 Lorong 6, Toa Payoh, Singapura 319276.
No Comments

Post A Comment