Tekad jadi Madrasah canggih dan lengkap

20 Nov Tekad jadi Madrasah canggih dan lengkap

ISMAWATI ISMAIL

MADRASAH Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) berhasrat muncul menjadi sebuah madrasah abad ke-21 yang canggih dan lengkap serta menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif melalui pengalaman.

Naib Pengetua MAI, Cik Aisha Abdul Manaf, berkata:

“Fokus MAI adalah memberikan para pelajar kami kurikulum yang menyeluruh sambil memberikan mereka peluang penguasaan mata pelajaran sains.

“Pertama, kami percaya, pembelajaran sains adalah amat penting kerana ia adalah pemangkin kepada pelajar untuk mengembangkan pemahaman tentang kehebatan dan keagungan ciptaan Allah swt, sambil mengetahui prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam.”

Kedua, sains juga mampu memupuk pelajar dengan kemahiran dan pemahaman, diperkaya dengan menggunakan kemahiran penyiasatan dan penyelesaian masalah.

Ia juga memerlukan kerjasama dan komunikasi secara berkesan, konsep teori dan menggunakan konsep dalam cara integratif yang dapat memberi manfaat kepada individu, masyarakat serta alam sekitar.

“Kami berharap kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari akan membolehkan mereka untuk menjadi lebih bijak dan menjadi insan yang mampu berfikir,” ujar Cik Aisha.

Sebagai permulaan, MAI telah menganjurkan rumah terbukanya hujung minggu lalu dan pihaknya amat teruja dengan sambutan hangat yang diterima daripada para ibu bapa serta orang ramai.

Menurut Cik Aisha, antara matlamatnya mengadakan rumah terbuka adalah untuk mempamerkan dan memperkenalkan bagi bakal pelajar menengah mereka, kurikulum yang menyeluruh serta penekanan khusus bagi mata pelajaran sains dan Islam.

Di acara tersebut juga, orang ramai juga berkesempatan mendengar ceramah oleh penulis dari Mesir, Sheikh Dr Muhammad Salah, bertemakan pembelajaran sains berteraskan falsafah Islam.

Selain menyediakan ilmu dunia dan ukhrawi, para pelajar MAI juga didedahkan dengan pelbagai program luar darjah yang dapat menyemai sifat ihsan dan menolong di antara satu sama lain.

Setiap tahun pula, MAI mengadakan program kemasyarakan Rahmatan Lil’ Alamin (RLA) di dalam negara dan sebuah lagi program lawatan RLA ke luar negara – terutama ke negara yang mempunyai ramai penduduk Islam yang miskin.

“Dengan program Rahmatan Lil’ Alamin, para pelajar dapat memberikan semula dengan berbakti kepada masyarakat sebagai satu bentuk perkhidmatan, di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

“Contohnya, para pelajar kami menganjurkan majlis iftar setiap Ramadan, manakala Program Ihsan kami pula mendedahkan para pelajar menolong mengemas, membersihkan serta mengecat rumah-rumah yang kotor dan tidak teruruskan.

“Selain itu, para pelajar turut memberikan habuan serta sumbangan wang untuk keluarga yang kurang berkemampuan,” ujar Cik Aisha.

Bagi program lawatan ke luar negara pula, para pelajar tingkatan tiga berpeluang membantu dua kampung Islam di Phnom Penh, tahun lalu.

“Tahun lalu, pelajar kami menolong membangunkan pam air di perkampungan di Phnom Penh, di Kemboja, yang mempunyai ramai penduduk Islam yang miskin.

“Mereka juga berpeluang mengajar bahasa Inggeris dan Arab di dua madrasah di sana. Mereka turut menghulurakan bantuan barangan seperti buku dan alat-alat tulis yang lain. Tahun ini, pelajar akan berangkat ke perkampungan Siem Reap, di Kemboja,” tambah Cik Aisha.

Menurutnya, kini MAI mengembangkan ‘Program Membaca’ bagi membantu kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah untuk membaca Al-Quran serta buku-buku pendidikan Islam yang lain, di sekitar kawasan MAI di Toa Payoh, setiap hari Selasa dan Jumaat.

Selain itu, kaum ibu juga dijemput untuk belajar Al-Quran setiap Jumaat diajar oleh seorang Ustazah yang bertauliah.

MAI mula operasi pada 1946, namun MAI dipercayai telah ditubuhkan seawal 1930-an lagi oleh Shaikh Omar Bamadhaj, di tapak asalnya di kawasan Masjid Haji Yusof, di Hillside Drive.

MAI terletak di kawasan sementara di Lorong 6 Toa Payoh dan diketuai oleh Mudir, Encik Herman Cher Ma’in.

Untuk keterangan lanjut, layari www.mai.sg atau e-mel admin@mai.sg atau hubungi talian 6744-4749.

See more at: http://specials.beritaharian.sg/sgbagus/ilmu/tekad-jadi-madrasah-canggih-dan-lengkap#sthash.DxITG1bH.dpuf

No Comments

Post A Comment