Mengimbangi Pendidikan Akademik dengan Pendidikan Rohani Lahirkan Ilmuwan Sempurna

Website-banner-erwansufyan

09 May Mengimbangi Pendidikan Akademik dengan Pendidikan Rohani Lahirkan Ilmuwan Sempurna

Disiarkan di Berita Harian pada 4 May 2016

Oleh SHAMSUL JANGARODIN

Iktibar dari peristiwa israk mikraj menjadi sändaran.

HAMPIR 1,300 tahun lalu, satu peristiwa agung – israk mikraj – telah membuktikan pentingnya proses pendidikan rohani bagi seorang Muslim meraih kesempurnaan diri.

Peristiwa yang dilalui Rasulullah s.a.w, di mana Baginda telah di-israk-kan (dibawa berjalan) dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmakdis dan kemudian dimikrajkan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha bagi menghadap Allah s.w.t, menguji keimanan seseorang Muslim dan banyak iktibar yang dapat diraih daripadanya.

Dewasa ini, dengan timbulnya pelbagai cabaran kehidupan, proses pendidikan rohani masih kekal penting.

Justeru di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI), keseimbangan dalam meraih ilmu akademik dan ukhrawi menjadi misi madrasah dalam melahirkan individu yang menyeluruh yang mampu melihat kehidupan dari sudut yang lebih luas.

“Di MAI, kami memiliki aspirasi untuk menjadi sebuah institusi cemerlang yang dapat memupuk pelajar yang bertakwa, inovatif dan bijak serta berdaya tahan dalam mengharungi cabaran masa depan. Semua ini kami lakukan dengan memastikan asas-asas agama menjadi tiang BAGI pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik seperti sains dan teknologi.

“Dengan adanya keseimbangan ini, kami harap dapat melahirkan insan yang sempurna, dunia dan akhirat,” kata Pengetua MAI, Encik Herman Cher-Main.

Hasil usaha MAI menggabungkan kurikulum akademik dengan pembangunan ukhrawi, madrasah tersebut telah berjaya melahirkan golongan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan akademik, bahkan juga menjadi juara dalam pelbagai wadah Islam.

Misalnya, baru-baru ini, pelajar menengah empat MAI, Muhammad Nursufyan Mohamad Raffi, 15 tahun, muncul juara “Khatib Impian Ummah” dalam sebuah pertandingan khutbah yang diadakan dalam bahasa Arab antara madrasah-madrasah setempat.

Menurut beliau, kejayaan tersebut diraih kerana “semua pelajar lelaki MAI didedahkan untuk menjadi khatib semasa solat Jumaat yang diadakan di sekolah.”

Seorang lagi pelajar MAI, Erwan Shah Effandi, 16 tahun, mengharumkan nama madrasah apabila berjaya merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran antara madrasah-madrasah.

Menurutnya, salah satu faktor yang mendorong kepada kejayaan beliau ialah adanya program tahfiz berstruktur di MAI – termasuk masa kurikulum khusus setiap hari di mana pelajar dianjur membaca dan menghafal Al-Quran.

“Guru-guru di MAI juga banyak memberi dorongan dan bimbingan,” kata Erwan.

Di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS), MAI menawarkan pendidikan menengah aliran akademik, manakala Madrasah Aljunied Al-Islamiah menawarkan pendidikan menengah aliran ukhrawi. Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah pula menawarkan pendidikan peringkat rendah.

Meskipun menawarkan mata pelajaran seperti fizik, kimia, biologi dan geografi, pelajar MAI juga diperlukan menduduki mata pelajaran Islam seperti Dirasat Deeniyah, Al-Quran dan bahasa Arab.

Salah seorang pelajar MAI yang pernah membanggakan madrasah tersebut dalam bidang pengajian akademik pula ialah Muhammad Izz Ryanshah Nor Azam.

Pelajar tersebut – kini menuntut di menengah dua – meraih markah tertinggi bagi subjek Teknologi Digital dalam Pertandingan dan Penilaian Antarabangsa bagi Sekolah-Sekolah (ICAS) anjuran Universiti New South Wales (UNSW), Australia tahun lalu.

Dalam satu wawancara sebelum ini, Muhammad Izz berkata beliau “berharap kemenangannya dapat membuktikan bahawa pelajar madrasah juga mampu berjaya dalam bidang ini.”

Menjelang 2019, MAI bakal memiliki sebuah bangunan baru. Madrasah itu kini mendiami bekas bangunan Sekolah Poi Ching di Lorong 6 Toa Payoh di bawah Lesen Pendudukan Sementara (TOL). TOL tersebut bakal tamat dalam masa beberapa tahun ini.

Apabila siap kelak, bangunan baru MAI – yang terletak bersebelahan bangunannya kini – akan menampilkan bilik darjah baru, makmal dan dewan serbaguna. Penggunaan teknologi infokom (ICT) juga dijangka diperluas.

“Saya bagi pihak madrasah mengalu-alukan sokongan masyarakat untuk menjayakan usaha MAI membina sebuah bangunan baru untuk kami teruskan misi murni mendidik insan-insan yang sempurna, dalam ilmu akademik dan ukhrawi.

“Semoga iktibar yang diraih dari peristiwa Israk Mikraj dapat dipraktikkan dengan anda menghulurkan sumbangan,” kata Encik Herman.

Orang ramai yang mahu menderma kepada MAI bagi pembinaan bangunan baru madrasah boleh melakukan menerusi cara-cara berikut:

  • Kirimkan cek atas nama ‘Madrasah Al-Arabiah Development Fund’. Tuliskan nama dan nombor telefon di belakang cek untuk madrasah sampaikan salinan resit derma;
  • Lakukan pemindahan wang ke akaun OCBC 695-189-514-001. Kirimkan nama, alamat dan nombor telefon anda ke give@mai.sg untuk madrasah sampaikan salinan resit derma;

Derma di kaunter madrasah di 1 Lorong 6, Toa Payoh, Singapura 319276.

No Comments

Post A Comment