Madrasah Al-Arabiah punyai kurikulum bagi evolusi pendidikan

30 Jan Madrasah Al-Arabiah punyai kurikulum bagi evolusi pendidikan

SINGAPURA: Madrasah Al-Arabiah mempunyai kurikulum yang menjadi asas bagi evolusi pendidikan masa depan dalam dunia global.

Demikian kata Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Saktiandi Supaat, di perayaan ulang tahun madrasah itu yang ke-70 hari ini (30 Jan).

Namun untuk lebih berjaya, katanya, Madrasah Al-Arabiah wajar menyelaraskan usaha kerjasama dengan institusi-institusi lain demi memaksimumkan sumber yang ada.

Madrasah Al-Arabiah merayakan ulang tahunnya yang ke-70 dengan melancarkan Galeri Warisan Mudah Alih.

Ia satu inisiatif khas bagi menyemai kesedaran tentang sejarah institusi pendidikan ini yang diasaskan sejak awal 1930an, sebelum berdaftar rasmi dengan Kementerian Pendidikan pada 1946.

Madrasah itu kini memberi penekanan terhadap pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, yang menurut Encik Saktiandi merupakan pengetahuan dan kemahiran penting untuk masa depan.

Encik Saktiandi berkata: “Apa yang Madrasah Al-Arabiah ada sekarang dalam kurikulum mereka adalah asas buat revolusi pendidikan buat masa akan datang di dalam dunia global.”

Encik Saktiandi menekankan pentingnya pembelajaran sepanjang hayat dan memanfaatkan sumber yang ada, melalui kerjasama dengan institusi pendidikan lain, serta memanfaatkan inisiatif SkillsFuture.

Mudir madrasah itu, Herman Cher Main, berkata: “Sebagai contoh, pelajar-pelajar menengah satu melalui program Robotik dan juga program penyelidikan kemahiran untuk mereka lebih berupaya.

“Dan kami lengkapkan pelajaran ataupun program-program SkillsFuture ini dengan program-program yang akan mengimbangi dari segi rohani, iaitu pelajaran Islam dan Sains.”

Selain memberi anugerah kepada pelajar-pelajarnya yang meraih pencapaian cemerlang, Majlis Haflah sempena 70 tahun Madrasah Al-Arabiah itu turut memberi penghargaan kepada Encik Buang Abdul Rashid – sukarelawan yang berperanan besar meneruskan hayat madrasah itu setelah bangunan lamanya ranap akibat kebakaran yang berlaku pada 1982.

Madrasah Al-Arabiah berharap agar satu hari nanti ia dapat diletakkan sebaris dengan institusi-institusi seperti Raffles, Hwa Chong dan St Joseph, namun disertai nilai tambah keseimbangan rohani dalam diri pelajar-pelajarnya.

 

– BERITAMediacorp/nd

See: http://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapore/madrasah-al-arabiah/2473410.html

No Comments

Post A Comment