Alumni Talks #2: MAI bimbing pelajar imbangi kejayaan ukhrawi, duniawi

Website-banner-faizah

25 Jun Alumni Talks #2: MAI bimbing pelajar imbangi kejayaan ukhrawi, duniawi

SHAMSUL JANGARODIN

BELIAU pernah merasa janggal apabila melangkahkan kaki bagi memulakan pengajian di sebuah politeknik setempat.

Namun bagi Cik Nur Faizah Habibul Rahaman, kejanggalan tersebut bukan satu hambatan bagi dirinya untuk terus membuktikan keupayaannya mencapai yang terbaik.

Ini kerana meskipun beliau menghabiskan 11 tahun menyusuri bangku persekolahan di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) – menjadikan sekitaran di politeknik jauh berbeza daripada apa yang pernah dilaluinya – Cik Nur Faizah bersyukur kerana didikan yang diraih di madrasah membuatnya sering dahagakan ilmu, dan menanam rasa berdikari dalam usaha pencarian ilmu.

“Saya percaya di madrasah terdapat Faktor-X yang membolehkan kami melakukan yang terbaik, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran, iaitu keberkatan dalam pendidikan. Pendidikan di madrasah, khususnya di MAI, mengajar kami cara mengimbangi kejayaan di mata Allah dengan kejayaan dalam bidang yang diceburi mengikut keadaan sekeliling,” kata Cik Nur Faizah, 26 tahun.

Berkat kesungguhan beliau itu, Cik Nur Faizah kemudian melangkah ke menara gading.

Tahun lalu, beliau berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda dalam Ilmu Kimia dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Cik Nur Faizah merupakan antara senarai pelajar MAI yang berjaya melangkahkan kaki ke universiti sekular setelah melalui pendidikan di madrasah setempat sepenuh masa.

Menurut beliau, salah satu penyumbang utama kejayaan pelajar di MAI ialah dedikasi serta komitmen tenaga pengajarnya yang sentiasa mendorong pelajar.

“Bagi saya madrasah pertama seseorang sewajarnya bermula di rumah. Namun memandangkan kami banyak meluangkan masa di sekolah, tidak dapat dinafikan guru dan asatizah mempunyai kesan besar terhadap pembangunan seseorang. Mereka mendidik tabiat dan perwatakan baik dalam diri kami, menjadikan kami individu seperti yang dilihat kini,” kata Cik Nur Faizah, kini bertugas di sebuah syarikat pengeluar alat analisis makmal.

Tambah beliau, MAI turut mengajar pelajarnya erti menyesuaikan diri apabila berdepan dengan cabaran. Misalnya, memandangkan bangunan lama MAI di Lorong 13 Geylang tidak mempunyai sebuah makmal sains, mereka terpaksa pergi ke madrasah lain selepas waktu sekolah untuk beberapa jam bagi melaksanakan tugas sains di makmal.

“Alhamdulillah, kita bernasib baik sebab mempunyai sistem sokongan madrasah yang baik,” kata Cik Nur Faizah.

Sebagai seorang lulusan madrasah setempat, Cik Nur Faizah akur dan bersyukur masyarakat banyak menyokong madrasah setempat, khususnya menerusi peruntukkan daripada Zakat dan sumbangan orang awam.

“Ekoran itu, saya percaya kami harus menyumbang kepada masyarakat, sesuai dengan keupayaan masing-masing,” kata Cik Nur Faizah.

Ditanya tentang sumbangan beliau kepada masyarakat sejauh ini, Cik Nur Faizah berkata selain menyertai program membantu golongan yang kurang bernasib baik di Singapura, beliau juga terlibat dalam ekspedisi luar negara, khususnya membantu sebuah madrasah di China ketika bersama Persatuan Muslim NTU.

Beliau juga pernah menyertai beberapa aktiviti kemasyarakatan tahun lalu bersama Juzhurul Arabiah, sebuah kumpulan yang terdiri daripada lulusan MAI.

Kumpulan tersebut melakukan pelbagai program kebajikan seperti membantu anak yatim dan menghulurkan habuan makanan kepada keluarga susah pada musim Ramadan.

Baru-baru ini, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, mengumumkan bahawa MAI bakal memiliki sebuah bangunan baru menjelang 2019.

Buat masa ini, Madrasah itu berada di bekas tapak Sekolah Poi Ching di Lorong 6 Toa Payoh di bawah Lesen Pendudukan Sementara (TOL). Ia sebelum ini pernah beberapa kali berpindah lokasi, dari tempat asalnya di Upper Serangoon Road, bersebelahan Masjid Haji Yusoff, ke kawasan Kembangan dan kemudian ke Lorong 13 Geylang.

Di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS), MAI menawarkan pendidikan aliran akademik bagi peringkat menengah.

Apabila siap kelak, bangunan baru MAI itu akan menampilkan bilik darjah baru, makmal dan dewan serbaguna. Penggunaan teknologi infokom (ICT) juga dijangka diperluas bagi memudahkan pembelajaran ‘alaf baru’.

“Madrasah merupakan aset masyarakat kita. Usaha perlu dibuat untuk memastikan kesemua enam madrasah sepenuh masa dipelihara.

“Madrasah memberi manfaat kepada pelajar dalam hubungan mereka pada dunia dan akhirat. Sama-sama kita percayakan pada madrasah. Dengan sokongan padu dari keluarga dan masyarakat, insya-Allah, generasi (lulusan madrasah) akan datang akan menyerikan umat di sini,” kata Cik Nur Faizah.

“Saya percaya di madrasah terdapat Faktor-X yang membolehkan kami melakukan yang terbaik, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran, iaitu keberkatan dalam pendidikan. Pendidikan di madrasah, khususnya di MAI, mengajar kami cara mengimbangi kejayaan di mata Allah dengan kejayaan dalam bidang yang diceburi mengikut keadaan sekeliling.”

– Bekas pelajar Madrasah Al-Arabiah, Cik Nur Faizah.


MAKLUMAT

Bagi menampung kos pembinaan, MAI kini sedang giat mengadakan kutipan derma. Orang ramai boleh menghulurkan derma ke MAI bagi mendirikan bangunan baru madrasah menerusi cara berikut:

– Kirimkan cek atas nama ‘Madrasah Al-Arabiah Development Fund’. Tuliskan nama dan nombor telefon di belakang cek untuk disampaikan salinan resit derma;

– Lakukan pindahan wang ke akaun OCBC 695 189 514 001. Kirimkan nama, alamat dan nombor telefon anda ke give@mai.sg untuk disampaikan salinan resit derma;

– Derma di kaunter madrasah di 1 Lorong 6 Toa Payoh Singapura 319276.

See: http://specials.beritaharian.sg/sgbagus/santai/madrasah-arabiah-bimbing-pelajar-imbangi-kejayaan-ukhrawi-duniawi

No Comments

Post A Comment