Alumni Talks #1: Lulusan Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah bahagi masa jadi mahasiswa dan imam Masjid

10 Jun Alumni Talks #1: Lulusan Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah bahagi masa jadi mahasiswa dan imam Masjid

Disiarkan di Berita Harian pada 10 Jun 2016

Oleh SHAMSUL JANGARODIN

SETIAP kali memiliki masa senggang, khususnya pada hujung minggu, Encik Sadiqul Amin Mazlan boleh ditemui di Masjid Al-Taqua atau di Masjid Kassim.

Di sana, beliau akan menjalankan tugas seperti menjadi imam, muazin, guru sambilan atau pembantu pegawai pentadbiran.

Namun pada hari-hari biasa pula, pemuda berusia 25 tahun itu sibuk menghadiri kuliah dan menelaah kertas-kertas kerja selaku seorang mahasiswa Institut Teknologi Singapura (SIT).

Encik Sadiqul merupakan antara hasil kejayaan Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) dalam melahirkan individu-individu yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan akademik, tetapi juga bernafaskan nilai-nilai murni Islam.

Beliau yang menuntut di MAI dari tahun 1998 hingga 2008 – dari darjah satu hingga menengah empat – juga mengharumkan nama madrasahnya apabila berjaya meraih Biasiswa Industri Singapura (SgIS) bagi pengajiannya dalam bidang kejuruteraan kuasa elektrikal di SIT.

“Seperti yang kita semua tahu, kemudahan dan peralatan di madrasah tidak secanggih yang terdapat di sekolah-sekolah nasional. Meskipun begitu, saya jadikan cabaran ini satu motivasi untuk saya terus berusaha dengan lebih gigih dan meraih yang terbaik dalam pengajian saya,” kata Encik Sadiqul.

Menyifatkan pendidikan madrasah sebagai pengalaman pembelajaran yang seimbang – mendidik pelajar dengan pengajian akademik dan memupuk bilai-nilai Islam yang baik – Encik Sadiqul menambah sokongan keluarganya juga faktor penting dalam pembangunan positif yang dilaluinya.

Mengimbas pengalaman beliau di MAI, Encik Sadiqul berkata guru-guru banyak memberi perangsang. Suasana sekolah, meskipun serba kekurangan, namun cukup untuk mendorongnya menjadi seorang Muslim yang cemerlang, baik dari segi ilmu, akhlak dan perwatakan.

“Guru-guru di MAI sentiasa menjadi inspirasi kepada saya,” kata Encik Sadiqul.

Beliau yang pernah menyandang jawatan sebagai presiden majlis pelajar di MAI juga bersyukur kerana pengalaman tersebut “memberi saya banyak peluang untuk mengasah bakat kepimpinan saya dengan menganjurkan pelbagai acara dan perkhemahan, memimpin pelajar dari segi disiplin dan mewakili mereka dari segi kebajikan.”

“Pendidikan bukan sahaja tertumpu pada bahan-bahan di dalam buku kerana ilmu tidak bermakna jika tidak diamalkan,” kata Encik Sadiqul.

Justeru beliau kini meluangkan masa di masjid-masjid kerana mahu menyumbang kepada masyarakat dan menjadi model contoh bagi anak-anak muda dengan mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w.

Selain mencurah bakti di masjid-masjid, Encik Sadiqul, bersama-sama bekas pelajar MAI seangkatannya turut mencari jalan untuk menyumbang kepada madrasah mereka. Misalnya, mereka pernah mendermakan sofwe bagi kegunaan komputer-komputer madrasah.

“Sejak kecil lagi, saya dididik oleh keluarga saya untuk sentiasa fikirkan tentang orang lain dan cara-cara untuk jadikan masyarakat lebih baik. Alhamdulillah, hasilnya saya kini menjadi seorang yang bertanggungjawab dan memiliki wawasan yang baik, sering memahami apa yang saya lakukan.

“Insya-Allah dengan nilai-nilai ini, saya berharap untuk menjadikan dunia ini lebih baik,” kata Encik Sadiqul yang bakal tamat pengajian pada tahun ini.

MAI kini memasuki fasa baru setelah diumumkan bakal memiliki sebuah bangunan baru menjelang 2019.

Buat masa ini, Madrasah itu berada di bekas tapak Sekolah Poi Ching di Lorong 6 Toa Payoh di bawah Lesen Pendudukan Sementara (TOL). Ia sebelum ini pernah beberapa kali berpindah lokasi, dari tempat asalnya di Upper Serangoon Road, bersebelahan Masjid Haji Yusoff, ke kawasan Kembangan dan kemudian ke Geylang Road.

Di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS), MAI menawarkan pendidikan aliran akademik bagi peringkat menengah.

Apabila siap kelak, bangunan baru MAI itu akan menampilkan bilik darjah baru, makmal dan dewan serbaguna. Penggunaan teknologi infokom (ICT) juga dijangka diperluas bagi memudahkan pembelajaran ‘alaf baru’.

Bagi menampung kos pembinaan, MAI kini sedang giat mengadakan kutipan derma.

Orang ramai boleh menghulurkan derma ke MAI bagi mendirikan bangunan baru madrasah menerusi cara-cara berikut:

  • Kirimkan cek atas nama ‘Madrasah Al-Arabiah Development Fund’. Tuliskan nama dan nombor telefon di belakang cek untuk disampaikan salinan resit derma;
  • Lakukan pindahan wang ke akaun OCBC 695 189 514 001. Kirimkan nama, alamat dan nombor telefon anda ke give@mai.sg untuk disampaikan salinan resit derma;
  • Derma di kaunter madrasah di 1 Lorong 6 Toa Payoh Singapura 319276

 

Sumbangan orang ramai amat dialu-alukan dan semoga setiap amalan baik dilipatgandakan dalam bulan suci Ramadan ini.

No Comments

Post A Comment